Izelan (tiga dari kanan) bersama-sama pelakon dan personaliti yang
terlibat dalam menjayakan program-program Oasis
BUKAN mudah bagi sesebuah saluran televisyen baru mahu menakluki zon hati khalayak. Namun bagi saluran Oasis (saluran 106, Astro) nyata kenyataan tersebut sudah berjaya ditepis.
Hampir setahun bersiaran Oasis berjaya membuktikan keupayaan mereka selaku saluran yang menyiarkan pelbagai rancangan berbentuk keagamaan.
Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, penerimaan khalayak terhadap Oasis kini semakin berkembang dan meningkat naik.
“Alhamdulillah kami tidak sangka dengan sambutan yang diberikan oleh penonton. Secara tidak langsung, ia memperlihatkan perubahan yang baik untuk kami dan penonton.
“Jelas kelihatan kini masyarakat kita semakin menyukai rancangan-rancangan berbentuk keagamaan. Kewujudan Oasis ini umpama orang yang haus diberi minuman,” jelasnya ketika ditemui pada majlis sambutan Ramadan baru-baru ini.
Kata Izelan, Oasis bukanlah sebuah saluran yang hanya menghidangkan rancangan tanpa matlamat.
“Oasis berbeza dengan stesen atau saluran lain. Program-program yang kita hasilkan bukan sahaja untuk tontonan khalayak kita sahaja tapi untuk tontonan seluruh masyarakat Islam di dunia,” jelas Izelan mengenai matlamat Oasis diasaskan.
Tambah Izelan, meskipun Oasis antara saluran baru namun pihaknya berbangga kerana program keagamaan yang disiarkan di Oasis antara yang mendapat rating tinggi.
“Setakat ini penonton gemar rancangan-rancangan yang disiarkan di Oasis dan setahu saya rating rancangan keagamaan Oasis antara yang tinggi. Kita mahu apa sahaja rancangan yang kita lakukan akan meninggalkan kesan dan mampu membuatkan khalayak yang menonton terasa, insaf dan menangis,” katanya lagi.
Akui Izelan, fokus tiga tahun pertama Oasis lebih tertumpu pada pengisian rohani.
“Sudah banyak rancangan berbentuk hiburan di saluran lain. Tak salah kalau kita beri sentuhan keagamaan sedikit. Sekurang-kurangnya, menonton Oasis mengisi jiwa yang kosong,” terangnya sambil memberitahu rancangan Jemputan Umrah antara rancangan yang cukup popular di saluran Oasis.
Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN
fadzilah.bahar@utusan.com.my


0 comments:
Post a Comment